Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Saujana (SMKBS) ditubuhkan pada 1 Februari 1972 dan dikenali sebagai Sekolah Inggeris yang dipimpin oleh pengetuanya En. R.Visvanathan. Pada tahun 1975, sekolah ini telah berpindah ke bangunan baru di mukim Si Rusa, di bawah pentadbiran pengetua barunya En. Atma Singh dan dikenali sebagai Sekolah Menengah Rendah Si Rusa. Pada tahun 1991, nama sekolah ini diubah kepada Sekolah Menengah Si Rusa.
Pada awal tahun 1997, sempena sambutan Jubli Perak, sekolah ini sekali lagi bertukar nama kepada SMKBS kerana letaknya betul-betul di atas bukit yang berhadapan dengan laut dan saujana mata memandang. Di bawah pimpinan pengetua baru Puan Latifah Mohd. Rashid, SMKB telah dipilih sebagai Sekolah Harapan Negara (Kategori Luar Bandar) peringkat negeri dan menjadi antara 10 sekolah terbaik peringkat kebangsaan pada tahun 1997. Pada tahun 2006, SMKBS dinobatkan sebagai naib johan Anugerah Kualiti Menteri Pelajaran peringkat kebangsaan. Ketika itu, SMKBS ditadbir oleh Puan Hjh. Jahara bt. Said.
Kini, SMKBS telah mempunyai seramai 1014 orang pelajar, 75 orang guru dan 16 orang kakitangan sokongan di bawah pimpinan Pn. Hjh. Johara bt. Dato’ Hj. Nawawi. Sepanjang tempoh ini, SMKBS telah mencapai banyak kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.